Thursday 17 March 2016

BERPANTUN DN BERDONDANG SAYANG DI MELAKA BERSAMA AZIZ TAPA DAN BORHAN YAMAN

TS Abd. Aziz Tapa (tiga kiri) bersama rombongan Jejak Bahasa dari TV3-DBP

Datuk Dr.Awang Sariyan ketika itu Pengarah Program Jejak Bahasa TV3-DBP




BERPANTUN DAN BERDONDANG SAYANG DI
MELAKA
PENGACARA Jejak Bahasa TV3, Nizal Mohammad bertanya
pada pagi 27 Mei yang lalu, “Apa angle saudara minggu ini?”
Nizal merujuk kepada tulisan untuk kolum saya di sebuah akhbar
mingguan berbahasa Melayu. Oleh sebab pertanyaannya spontan
dan tiba-tiba, saya juga menjawab spontan, “Belum terfikir lagi, mungkin
pantun orang Melaka.”

Sememangnya kru Jejak Bahasa sedang dalam perjalanan ke kediaman
Tan Sri Aziz Tapa, 78 tahun, di Jasin. Turut sama dalam rombongan
pagi itu ialah Datuk Wira Borhan Mohd. Yaman, 74 tahun, yang
dijemput khas dari kediamannya di Klebang untuk menyertai Aziz
Tapa, berbincang tentang pantun dan jika perlu rumah tradisi orang
Melaka.

Aziz Tapa kurang sihat sewaktu kami hubungi sebelumnya, tetapi
kerana pantun dan bahasa Melayu dia “menyihatkan” diri bersiap
menunggu kedatangan kami. Dan kami menyelusuri jalan-jalan kenangan
Tan Sri itu dalam hujan lebat yang bagaikan cuba menghalang
pertemuan. Jamal Shah, orang perantaraan kami di Melaka sedikit
hairan. Katanya, “Biasanya di Melaka hujan sebelah petang. Ini pagi.
Pelik juga.”

Aziz Tapa, seperti halnya Borhan Yaman, masih bersemangat membincangkan
topik tradisi warisan Melayu, iaitu pantun. Kedua-duanya
masih mampu mengingat pantun-pantun lama yang berkait dengan
budi pekerti, perjuangan dan kasih sayang. Malah, sambil berbual mereka
menyelitkan pantun-pantun usik-mengusik suami isteri. “Mengasyikkan!”
kata seorang anggota rombongan. Di samping pantun ruparupanya
Aziz Tapa juga seorang pelukis. Salah sebuah lukisannya kini
dipamerkan di Balai Seni Lukis Negara dengan judul “Suatu Petang di
Pelabuhan”. Sebenarnya Aziz Tapa guru lukisan suatu ketika dahulu.
Dan dia juga bekas Speaker Dewan Undangan Negeri Melaka. Borhan
Yaman mengakui bahawa Aziz Tapa ialah guru lukisannya ketika bersekolah
dahulu. Kedua-dua tokoh ini berada dalam lingkungan lebih
dua dekad daripada usia emasnya.

Aziz Tapa bangga dengan Melaka. Bukan sahaja kerana pantunnya
tetapi menganggap Melaka negeri Islam pertama terkenal di dunia.
Katanya semuanya bermula di Melaka. Betapa tidak, Melaka terkenal
di seluruh dunia pada tahun kegemilangan empayarnya pertengahan
abad ke-15, terutama sewaktu Sultan Mansur Shah memerintah.
Banyak pedagang dan santeri singgah di pelabuhan Melaka. Katanya,
“Jangan lupa sistem pemerintahan Melayu bermula di Melaka. Dulu
kita ada sultan, bendahara, temenggung, penghulu bendahari dan
laksamana. Hari ini kita ada sultan (Yang di-Pertuan Agong), Perdana
Menteri, Menteri Dalam Negeri, Menteri Kewangan dan Menteri Pertahanan
yang di bawah kuasanya ada Laksamana.”

Cuma satu hal yang kadang-kadang susah diterima akal. Kata Aziz
Tapa, ada perbilangan orang kita, iaitu “Kalau nak makan angin pergi
ke Singapura, kalau nak makan pergi ke Pulau Pinang dan kalau nak
mati pergilah ke Melaka. Sebabnya di Melaka kalau ada orang mati
meriah. Ramai yang hantar jenazah ke pusara.”

Aziz Tapa cuba menghuraikan pembayang maksud dalam pantun.
Menurutnya, lazimnya pembayang diambil daripada suasana persekitaran,
alam dan kehidupan. Banyak pantun dicipta melalui pengalaman
bersama alam yang melingkunginya. Misalnya, pantun kasih:

Kalau padi katakana padi,
Tidak saya terrtampi-tampi;
Kalau sudi katakan sudi,
Tidak saya ternanti-nanti.

Pembayang kepada pantun itu ialah “padi” dan orang Melayu dekat
dengan padi yang menghasilkan beras, makanan utamanya. Menampi
padi itu lazim untuk mengasingkan hampanya sebelum ditumbuk
menjadi beras. Padi dan tampi adalah sesuai dengan rima dan ritma
akhirnya.

Borhan Yaman yang kental dengan semangat juangnya, terutama
dalam bidang bahasa dan budaya, turut merasakan keindahan dan
kekentalan semangat kesetiakawanan dan kasihkan bangsa. Borhan
Yaman mengeja “Alif”, “Ba” dan “Ta”. Katanya, “Alif” ialah agama,
“Ba” bangsa dan “Ta” tanah air. Beliau berpantun,

Kalau roboh kota Melaka,
Papan di Jawa saya dirikan;
Kalau sungguh bagai dikata,
Nyawa dan badan saya berikan (serahkan?)

Pembayang pantun ini ialah simbol perjuangan. Menurutnya, pantun
itu “hadis”nya orang Melayu. Siapa tidak kenal Borhan Yaman
yang suatu ketika dahulu merupakan Ketua Pemuda UMNO Negeri
Melaka yang berjuang bersama-sama A. Ghafar Baba (sekarang Tun)
dan Aziz Tapa sendiri (tiga serangkai) yang menjadi pengasas kepada
kemajuan UMNO dan kerajaan Melaka hari ini.

Borhan Yaman mengungkapkan rasa cintanya kepada agama,
bangsa dan tanah air dengan “reda berkorban segala” sesuai dengan
peribahasa yang disukainya, “Bahasa menunjukkan bangsa”. Baginya
cinta akan tanah air adalah sebahagian daripada iman. Semangat ini
banyak terjelma dalam pantun-pantun dan perbilangan orang Melayu.
Tidak kurang menariknya ialah pantun dalam irama Dondang
Sayang di negeri yang pernah terkenal dengan temasya “Mandi Safar”
suatu ketika dahulu. Malah, temasya tahunan ini tidak akan lengkap
tanpa nyanyian dondang sayang dengan pantun liriknya. Ini diakui
oleh kedua-dua tokoh Aziz Tapa dan Borhan Yaman. Turut akur dengan
fenomena pantun dan Mandi Safar ini ialah pengerusi Persatuan
Peranakan Baba dan Nyonya Melaka, Baba Kim Bok, 58 tahun, yang
ditemui di rumahnya di Bukit Rambai. Baba Kim aktif mengetengah
kan budaya baba dan nyonya yang tunjangnya adalah daripada budaya
Melayu.

Baba Kim menerajui Badan Kesenian Baba dan Nyonya, ringkasnya
“Kebaya” yang kegiatannya antara lain menubuhkan kumpulan
Dondang Sayang. Salah seorang anak asuhan Baba Kim dalam irama
dondang sayang ialah Boon Kim Geok. Pada pagi 28 Mei, kru Jejak
Bahasa mengadakan penggambaran untuk lagu dondang sayang yang
didendangkan oleh Kumpulan Mawar Biru pimpinan Baharim Mohd.
Shariff, 58 tahun, dengan barisan penyanyinya Nona Othman 52 tahun,
Maarof bin Abu Chik 69 tahun, serta Boon Kim Geok sendiri
(penyanyi undangan). Penggambaran diadakan di sebuah rumah di
Bachang. Rumah ini menyaksikan kumpulan ini berlatih sejak 40 tahun
lalu.

Nama dondang sayang sinonim dengan pantun usik-mengusiknya.
Inilah kelebihannya, terutama dibawa berlagu oleh penyanyinya. Istimewanya
irama ini ialah lirik pantun spontan penyanyinya ketika
menjual dan membeli. Seperti kata Ma’arof, keindahan dondang sayangnya
ialah lirik dihasilkan ketika sedang menyanyi. Contohnya dia
menjual serangkap pantun dengan penuh irama dan pasangannya diminta
membeli atau menjawabnya dengan pantun yang disesuaikan
dengan apa yang dijual.

Baharim yang memimpin kumpulan adalah juara Dondang Sayang
Kebangsaan dalam Pertandingan Dendang Rakyat anjuran RTM pada
tahun 1988. Baginya dondang sayang telah mendarah daging dengan
hampir 40 tahun daripada usianya dihabiskan untuk mengasah bakatnya
dalam lagu kebanggaan orang Melaka ini. Kini, dia sedang mempersiapkan
beberapa anak kecil untuk meneruskan tradisi dondang
sayang ini. Ada dua orang yang sedang diasah bakatnya, iaitu Mohd.
Firdaus, 12 tahun dan Mohd Herdi Ramli, 14 tahun. Mohd Herdi dilatih
memukul rebana sementara Firdaus penyanyi.

Kegigihan Baharim dan Baba Kim Bok meneruskan tradisi dondang
sayang ini barangkali akan tinggal “gigih” sahaja sekiranya tidak ada
pihak yang secara serius mempertahankannya. Siapalah Baharim atau
Kim Bok jika pihak berkuasa kebudyaan, misalnya tidak pernah menjenguk
kegiatan mereka. Tidak keterlaluan jika dondang saying akan
pupus, maka pantun yang menjadi lirik spontan nyanyian turut akan
hilang. Maka satu-satunya lirik tradisi yang dicipta spontan ketika
melagukan irama dondang sayang akan pupus, sepupusnya cara lirik
dicipta. Barangkali nama Baharim, Ma’arof, Nona Othman, Kim Geok
atau Kim Bok hanya tinggal dalam kumat-kumit bibir Mohd. Herdi
dan Firdaus yang bakal kehilangan arah.

Itulah pantun dan lagu, antara lirik dan irama yang menyaksikan
pembauran tokoh pemantun dan dondang sayang. Melaka amat terhutang
budi dengan Aziz Tapa dan Borhan Yamin yang petah berpantun
dan dengan Baharim, Maarof, Nona Othman, Kim Geok serta Kim
Bok yang “takkan senang duduk tanpa dondang sayangnya”.
Rentak irama Melayu asli dari Melaka ini masih terus bergema
di awang-awang fikiran setelah dua hari berada di Melaka. Kadangkadang
terfikir pula macam manalah indahnya irama dondang sayang
tanpa pantun yang dicipta spontan oleh penyanyinya, seperti halnya
juga bagaimanalah indahnya pantun yang dicipta spontan tanpa irama
dondang sayang yang mengiringnya? Fikiran ini terus datang dan
pergi seolah-olah ia seperti ingin mencari jawapan kepada pertanyaan
Nizal Mohammad tentang catatan saya minggu ini. Pertanyaan Nizal
ini diselang-seli pula oleh pernyataan Kim Bok tentang keadaan baba
dan nyonya sekarang di Melaka. Kata Kim Bok, “Kami ini macam
bank OCBC. Bukan banknya tapi OCBC-nya, iaitu Orang Cina Bukan
Cina. Cina bukan Melayu pun bukan, terutama dari sudut budayanya.
Barangkali pula, ini juga yang sedang difikirkan oleh Penerbit Jejak
Bahasa musim kedua ini  Hisham Abdullah.

Bukit Rambai, Melaka.

No comments: