Tuesday 8 April 2014

MUNGKAJOHO DIRASMIKAN DATO' BAGINDA TAN MAS DI TUMANG 6 APRIL 2014



Dato' Baginda Tan Mas Mohammad Haji Abdullah ketika merasmikan Mesyuarat Agung Pertubuhan Kebjikan Anak-Anak SukuMungkal Johol (MUNGKAJOHO) di Telapak Mungkal Kampung Tumang, Johol.

TEKS UCAPAN DATO’ BAGINDA TAN MAS MUHAMMAD BIN HAJI ABDULLAH DI MAJLIS PERASMIAN MESYUARAT AGUNG PERTUBUHAN KEBAJIKAN ANAK-ANAK SUKU MUNGKAL JOHOL (MUNGKAJOHO) KALI PERTAMA, 6 APRIL 2014 DI TELAPAK MUNGKAL KAMPUNG TUMANG, JOHOL, NEGERI SEMBILAN


Saudara Pengerusi Majlis,
YAM Ibu Soko Biduanda Waris Hajjah Hasnah bt Hj. Abdullah
Yang Mulia Dato’ Senara Haji Mohd. Din bin Mohd. Noh, Datuk Lembaga Suku Mungkal,
Yang Mulia Dato’ Seri Maharaja Khalid bin Bonget, Dato’ Lembaga Suku Mungkal Ulu Muar, Pilah.
 

Yang Mulia Dato’-Dato’ Lembaga dan Buapak-buapak Balai Undang Luak Johol,
Yang Berusaha, Ir. Roslee bin Haji Muhammad, Yang DiPertua MUNGKAJOHO,
Ahli-ahli Jawatankuasa MUNGKAJOHO,
Waris Telapak Mungkal Kg. Tumang Puan Hajjah Napiah bte Haji Mahmud,
Tuan-tuan dan puan-puan yang dihormati sekalian.

Assalamualaikum wr. wb!

1. Terlebih dahulu saya ingin mengucapkan terima kasih kepada barisan kepimpinan Pertubuhan Anak-anak Suku Mungkal Johol (ringkasnya MUNGKAJOHO) kerana sudi mengundang saya untuk hadir di majlis yang cukup bermakna pada hari ini; iaitu untuk merasmikan Mesyuarat Agung Pertubuhan Kebajikan Anak-anak Suku Mungkal Johol buat kali Pertama.

2. Saya difahamkan di Majlis hari ini bukan sahaja pembesar-pembesar adat dan anak-anak Suku Mungkal di Johol ini yang diundang malah saya diberitahu juga bahawa Dato’-dato’ Lembaga Suku Mungkal Ulu Muar, Ulu Pilah, Rembau dan Pulau Sebang juga turut diundang. 

Di rumah inilah usaha menubuhkan Mungkajoho dirangka dan direalisasikan.
3. Ini menunjukkan bahawa orang kita ini (contoh yang ditunjukkan oleh anak Mungkal hari ini) sangat tinggi budi bahasanya, sangat mementingkan saudara, menghormati jiran tetangga - bukan sahaja yang dokek tetapi jugak tidak melupai yang jauh-jauh bilo buek kenduri keramaian. Itulah cara adat dan sopan santun dalam masyarakat yang diamalkan turun-temurun sojak dari zaman nenek moyang kita dahulu kala. Saya berpendapat amalan berbuat baik, bersangka baik atau sikap husnuzon cara begitu patut diamalkan dalam kehidupan kita bermasyarakat hari ini.

4. Saya ucakan tahniah kepada Yang DiPertua dan Ahli-ahli Jawatankuasa Protem MUNGKAJOHO yang telah mengambil langkah menubuhkan persatuan ini. Lima objektif yang digariskan dalam penubuhan MUNGKAJOHO iaitu:

Pertama: Merapatkan balik ikatan persaudaraan dan permuafakatan di kalangan anak-anak serta keturunan Suku Mungkal di Johol;

Kedua: Menerapkan kefahaman serta menyuburkan Adat Perpatih kepada generasi sekarang dan masa akan datang;

Ketiga: Memberi bantuan tambahan selain daripada apa yang diajar di sekolah untuk menjayakan anak-anak dalam bidang pendidikan duniawi dan pendidikan ukhrawi;

Keempat: Menghulur bantuan kebajikan kepada mana-mana ahli dan anggota keluarga yang sakit, yang menghadapi musibah serta kepayahan hidup, dan

Kelima: untuk menubuhkan Tabung Kebajikan dan Tabung Pendidikan.
Kelima-lima tujuan tersebut sangat baik sekali - ia mempunyai maksud yang sangat murni. Malah, apa yang MUNGKAJOHO hasratkan itu saya nampak selari dengan pegangan agama kita iaitu “hablumminallah hablumminnanas”. Bila hubungan kita dengan Allah itu beres maka hubungan kita sesama manusia itu selalunya baik.

5. Bagi pendapat saya, dalam berpersatuan ini beberapa perkara penting yang patut kita ambik berat:

(a) Pertama sekali, pemimpin dan Ahli Jawatankuasa yang memikul tanggungjawab itu mestilah orang yang ikhlas, amanah dan bertanggungjawab.

(b) Yang kedua, pemimpin yang dipilih itu mestilah sentiasa berusaha dan berikhtiar mencari dana untuk menjalankan program dan aktiviti-aktivitinya.

(c) Ketiga, semua Ahli Jawatankuasa yang dipilih itu hendaklah sama-sama bersepakat serta berkemampuan menterjemahkan ide yang baik itu kepada realiti.

6. Itulah yang saya lihat ciri-ciri yang ada dalam banyak persatuan yang berjaya. Dan banyak persatuan yang gagal atau terpaksa gulung tikar disebabkan pemimpinnya mengabaikan amanah, tidak mampu mencari dana persatuan, dan orang yang dipilih dalam jawatankuasa itu tidak bersepakat, tidak mempunyai fikiran kreatif, kurang pengalaman untuk mengurus atau mentadbirkan persatuan.

7. Saya yakin ramai di kalangan anak-anak kita di Johol ini (khususnya dari suku Mungkal) yang telah berjaya mencipta kejayaan dalam hidup. Ramai yang dikurniakan rezeki yang melimpah ruah oleh Allah SWT. Golongan yang berjaya inilah saya fikir memang patut kita rapatkan balik dengan masyarakat di Johol ini. Ramai yang berkelulusan tinggi yang boleh berkongsi idea, kepakaran, kemahiran serta mampu menyumbang wang ringgit untuk berbudi dan menabur bakti kepada masyarakat.

8. Saya percaya kalau perjalanan MUNGKAJOHO ini baik ramai dari kalangan anak-anak Mungkal yang berjaya itu (termasuk juga anak-anak dari suku lain yang mana ayah mereka, atuk mereka, moyang mereka berasal dari Suku Mungkal) mereka tidak lokek menyalurkan bantuan. Saya yakin ramai saudara kita yang berjaya itu juga memiliki sekeping hati yang murni dan bersifat kebajikan. 


Ghazali Yasin, Tokoh di belakang tabir yang menggerakkan penubuhan Mungkajoho
9. Dua aspek penting iaitu memberi sumbangan KEBAJIKAN dan PENDIDIKAN untuk saudara mara dan anak bangsa kita sangat penting diberi tumpuan. Bila golongan yang dhaif dapat dibela dan anak-anak yang dahagakan ilmu itu dapat dibantu maka Allah akan mempermudahkan usaha kita untuk melahirkan insan yang berilmu, beriman dan bertaqwa kepada Allah Subhanahuwataala. Saya yakin MUNGKAJOHO adalah wadah yang sesuai untuk membolehkan kita membawa golongan yang berada di atas untuk melihat golongan yang berada di bawah. Itu adalah satu falsafah yang sangat cantik.

10. Dengan sokongan dan kerjasama semua golongan yang berjaya itu dan sekiranya barisan kepimpinan pertubuhan ini melakukan tugas dengan bersungguh-sungguh serta dapat mendukung amanah kerana Lillahitaala saya yakin apa yang dihajatkan dalam objektif penubuhan MUNGKAJOHO ini akan dapat dijayakan.

11. Jadi marilah sama-sama kita rapatkan balik orang kita. Bak kato perpatah “Saudara yang jauh kita rapatkan balik, yang dokek kito kumpulkan, kalau ado yang koghoh kito joghonihkan, kalau ado yang kusut kito solosaikan”. Itulah semangat dan cagho nenek moyang kito dulu hidup bermasyarakat. “Bulat air kerana pemotong, bulat manusia kerana muafakat. Adat istiadat yang teruco terpakai, pasal biaso daripada dulu sampai sekarang. Jadi kato pepatah heh “patah tumbuh hilang berganti, posako bergilir”. Itulah kato adat daghi dulu. Sesiapo sajo yang menyandang jawatan atau bergolar dalam masyarakat (termasuk jawatan dalam Persatuan) hendaklah lakukan yang terbaik. Kalau yang memimpin itu baik maka anak-anak buah atau yang mengikutnya tentu memberi sokongan tidak berbelah bagi.

12. Apo yang dibuek oleh MUNGKAJOHO ini patut dijadikan contoh dan tauladan untuk menyatukan segala anak suku Mungkal yang ketika dahulu asal serumpun datang dari Pagar Ruyung daerah Minangkabau. Eloklah kito gilap semula semangat dan hargai warisan nenek moyang kita dahulu sebab bukannya mudah mereka menempuh lautan, merintas bukit bukau, payo lembah untuk bertambah dan menjadikan kampong.

13. Dahulu kalo orang hidup cara muafakat, tolong monolong ibarat aur dengan tobing - tidak bulih dipisahkan, air dicincang tidak akan putus. Jarang maso dulu orang hidup macam onau dalam bolukar hidup melopehkan pucuk masing-masing. Sekarang ini saya perhatikan kehidupan masyarakat sudah jauh menyimpang dari budaya hidup masa dulu.

14. Satu lagi, yang pada hemat saya patut kita pupuk dalam cara hidup kita bermasyarakat ialah pepatah menyobut “Beranak seorang tetapi yang menjago gamai”. Masing-masing pihak yang tuo dan omak atau ayah saudara, kakak abang dan orang tuo di kampong bulih menegur sekiranya anak kita itu melakukan satu perkara yang tidak baik. Tetapi malangnya hari ini amalan itu tidak lagi digunapakai dalam masyarakat. Macam saya katakan tadi kebanyakan orang kita sudah hidup macam onau dalam belukar lopeh pucuk masing-masing dan tidak ambil peduli tentang masyarakat. Itulah ponyobab mengapo pada hari ini kita dapati anak-anak muda tidak lagi menghormati orang tua. Bilo perkara seumpama itu berlaku maka rosaklah masyarakat. Banyaklah gejala tidak baik yang menjolok mata dan menyalahi hukum agama dan melanggar norma hidup - tidak tahu beradat dan kurang beradab. Itulah puncanya mengapa di kalangan masyarakat orang Melayu sekarang ini sudah hilang kemurnian dalam budaya hidup mereka.

15. Jadi saya berharaplah MUNGKAJOHO ini sebanyak sedikit dapat menerapkan semula nilai-nilai murni yang diamalkan oleh masyarakat kita zaman dahulu melalui program dan aktiviti-aktiviti yang dijalankan dari masa kesemasa.

16. Dalam bab membuat kebaikan dan kebajikan ini saya tertarik kepada sepotong ayat al-Quran dalam Surah An-Nissa (ayat 32) yang bermaksud “…. Dan hendaklah kamu berbuat baik kepada ibubapa dan kaum kerabat dan anak-anak yatim, dan orang-orang miskin dan jiran tetangga yang dekat dan jiran yang jauh dan rakan sejawat dan orang musafir yang terlantar dan juga hamba yang kau miliki. Sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang yang sombong, takbur dan membanggakan diri”.

17. Akhir kata, saya sekali lagi mengucapkan terima kasih atas undangan kepada saya serta Dato-dato adat di Johol dan juga dari Rembau, Kuala Pilah dan Pulau Sebang untuk sama-sama hadir di Majlis yang mulia ini.

18. Semoga dengan berkat dan restu doa Dato’-dato’ semua MUNGKAJOHO ini akan terus maju dan dapat membantu golongan yang kurang bernasib baik di Luak Johol ini supaya mereka atau keturunan mereka nanti dapat duduk sama rendah dan berdiri sama tinggi dengan orang lain yang berjaya.

19. Setakat mana yang mampu, Insya’Allah, saya akan memberikan sokongan kepada pembangunan persatuan MUNGKAJOHO ini. Oleh itu jagalah baik-baik. Untuk berbuat baik susah. Untuk nak meruntuhkan sekejap saja. Kalau kita semua rasa banyak sudah kerosakan yang berlaku dalam masyarakat kita ini maka eloklah kita sama-sama mengingati perpatah orang dulu-dulu “Yang kusut diselesaikan, yang keruh dijoghonihkan, yang buruk dibaikkan, yang kopo ditaubatkan, yang salah disembahkan. Dikatakan kok berhutang dibayar, kok bersalah bertimbang, maka nyak salam solualannabi”.

20. Begitulah teratur dan tersusun sistem adat dalam masyarakat kita. Eloklah kito jadikan intipati adat itu sebagai pegangan untuk kito menyatukan keluarga dan masyarakat supaya kampong dan luak kito aman damai sentiasa. Kalau jalan-jalan lain menyebabkan masyarakat kita kusut dan berpocah-bolah maka eloklah kito ikut JALUR ADAT yang bagi pendapat saya mampu menyatukan masyarakat. Pepatah adat tu ado – “Di mano bumi dipijak di situ langit dijunjung. Itu istiadat orang kalo dulu, yang mudo mendonga cakap orang tuo, yang budak itu mendengar cakap orang mudo, hak genolo waris sekodin, goto bertuan. Jadi setiap satu keluarga itu ado sekodin eh. Gonting putus biang menombok. Kodim itulah bak kato pepatah ga kato lantai ghasuk yang menahan.” Itulah cagho orang dulu-dulu bermuafakat dan menjaga keharmonian segala anak buak dio.

21. Saya berharap MUNGKOJOHO ini dapat mencuba menerima balik semangat yang tersirat dalam amalan Adat Perpatih yang diwarisi turun temurun itu.

22. Dengan lafaz الرَّØ­ْمنِ الرَّØ­ِيمِ اللهِ بِسْÙ…ِ saya dengan rasminya melancarkan Mesyuarat Agung Pertubuhan Anak-anak Suku Mungkal Johol Kali Pertama.
Wabillahitaufiq Walhidayah Wassalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh!

Komen:
Zahriman Alias: Salam... Syabas dan Tahniah...

Ghazali Yasin:  TK Iman. Untuk makluman, YAM Dato' Baginda Tan Mas ini bersekolah rendah di TBS dan kemudian dipilih meneruskan pengajian ke MCKK.

Mimi Nora: Mak saya pun suku mungkal tp kek gombau.

Ghazali Yasin: Mimi nora, makno eh kito ni dulu asal serumpun.

Ahmad Fadzil Yassin: Tahniah GY kerana turut melibatkan diri secara aktif menggerakkan clan Mungkal di Johol. Sayo tumpang gumbira dan bersyukur. Suku Mungka di Ghombau eh patut menubuhkan persatuan seperti ini dan kemudian mengafiliasi semua persatuan Mungka sehingga boleh menyusur galur "your Roots". Di Ghombau ado tokoh yang boleh memompin seperti Dato' Dr. Sham Kassin atau Roslan Kassim.

Ghazali Yasin: TK AFY: Ese dapek nimbo lubuk baghu yang banyak ikan. Seronok betul mendampingi diri dengan warigh kodim suku Mungkal. Sambutan amat luar biasa. Ese pun tak sangko. Ghupo eh penyatuan ini memang dinanti-nanti oleh anak-anak buah suku Mungkal. Memang ada usaha nak menggabungkan (affiliate) suku Mungkal di Ghombau, Ulu Muar Pilah, Ulu Pilah dan Pulau Sobang dengan Mungkal Johol.

Ahmad Fadzil Yassin: Kalau GY boleh usahakan memang cantik

Ghazali Yasin: Inisiatif ini mesti bermulo dari oghang yang berada di ateh. Macam penubuhan MUNGKAJOHO ini kami beruntung dapek anak buah yang kojo bosa yang memimpin. Idea dio bernas. Tangan kanan yang memberi tangan kiri tak tau. Itulah keikhlasan yang ditunjukkannya. Kami harap anak-anak buah yang berjaya itu akan sama-sama menyokong untuk membuat kerja kebajikan ini.

Ahmad Fadzil Yassin: Di Ghombau inilah masalah eh. Untuk suku Mungkal di Ghombau inisiatif patut diambil Dato' Samsura Pahlawan . Beliau bukan sahja Lombago malah salah soghang Tiang Balai nan ompek yang molantik Undang Ghombau.

Ahmad Fadzil Yassin: Macam sayo ini hanyolah anak Suku Biduanda Lela Maharaja dari keturunan omak. Kalau ayah dari suku Tanah Datar, Gadong.

Ghazali Yasin: Ketughunan Suku Biduanda Lela Maharaja dan Setia Raja bulih jadi Undang Ghombau. Ado peluang tak Bang Abey?

Ghazali Yasin: Abu Samah Bidin,Mazalan Mohamed Said, Salleh Smon, Dak Chupi, Tok Mat dan AFY sumo ado peluang jadi Undang tu. Tompi kok dah monyomondo luar payahlah nampak eh. Bulih-bulih tompi kono tambah lai satu - kono pelihara anak Ghombau pulak!

Mazalan Mohamed Said: Toghuskan activiti GY.

Ahmad Fadzil Yassin: Kaghang ini nak jadi Undang susah mekamek. Banyak x-factor yang mengganggu. Bukan setakat faktor fizikal dan mental serta pendidikan.
Ghazali Yasin: Faktor yang tersuruk tu yang tak tobuek dan tak todayo tu! Tak langsai seko kobau jantan lai doh!

Ahmad Fadzil Yassin: GY kalau hanyo seko kobau gak ado masalah Pak. Tapi seperti dibilang orang seberang kalau ia hanyo seko kobau itu "spele". Kapan-kapan bisa diurusin. Gampanglah itu Pak. Asal Bapak senang (ABS).

Ghazali Yasin: Waduh! Bikin sakit hatiku melihat mahkota warisku diambil oleh orang yang tidak cocok!

Top of Form

No comments: